|
* Sudut Pembaca *
Olahan: Mohd. Sabri Ab.
Ghani
Aurat Wanita
Memakai tudung adalah satu kewajiban berhijab dalam Islam bagi wanita yang
telah baligh. Hukum ini tiada perselisihan disisi semua ulama daripada
keempat-empat mazhab. Ini berdasarkan firman Allah swt dalam ayat 59 Al-Ahzab
dan ayat 31 An- Nur.
Seseorang itu boleh bertudung, tetapi masih melanggar aturan berhijab
seperti memakai pakaian ketat atau mendedahkan anggota tubuh yang lain. Ini
masih tidak menutup aurat!
Ulama daripada keempat-empat mazhab juga bersepakat bahawa minimum anggota
tubuh yang perlu dihijab (tutup) ialah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak
tangan. Bagaimana bentuk atau fesyen bagi menutup tubuh, terserah kepada
keadaan dan budaya jika ia masih memenuhi syarat berhijab. Sila rujuk
syarat-syarat hijab yang sempurna dalam buku Halal dan Haram Dalam Islam
oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi.
Meninggalkan kewajipan berhijab/memakai tudung adalah berdosa.
Mengingkarinya atau mengejek orang yang memakai hijab pula boleh merosakkan
akidah kerana mengingkari sesuatu yang telah ditetapkan dalam Al-Quran dan
mengejek-ejek amalan agama.
Allah swt berfirman yang bermaksud "Sesungguhnya Allah telah mengharamkan
keduanya (air dan makanan syurga) daripada orang-orang kafir. (Iaitu) Mereka
yg menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda gurau dan kehidupan
telah menipu mereka...." (Al-A'araad:50-51).
Bagaimanapun, berhijab adalah salah satu kewajiban daripada banyak kewajipan
dalam islam. Berhijab atau tidak berhijab semata-mata tidak menjamin seorang
itu masuk syurga atau neraka.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud "Sesungguhnya
salah seorang daripada kamu mengamalkan amalan ahli syurga sehingga tidak
ada jarak antaranya dan antara syurga melainkan sehasta, kemudian terdahulu
atasnya ketentuan kitab (qadha dan qadar), lalu ia pun mengerjakan dengan
amal ahli neraka, maka masuklah dia kedalamnya. Dan sesungguhnya salah
seorang daripada kamu mengamalkan amalan ahli neraka sehingga tidak ada
jarak antaranya dan antara neraka melainkan sehasta,
kemudian terdahulu atasnya ketentuan kitab (qadha dan qadar), lalu ia pun
mengerjakan dgn amal ahli syurga, maka masuklah dia kedalamnya." (Riwayat
Al-Bukhari dan Muslim).
Seorang itu jika ia sentiasa menjaga akhlaknya serta hatinya daripada
sifat-sifat keji, tetapi meninggalkan hijab, ia akan mendapat pahala bagi
kebaikan yang ia lakukan dan mendapat dosa kerana meninggalkan hijab dan
kewajipan lain, jika ada.
|
Di akhirat nanti, setiap kita akan dihisab
oleh Allah atas seluruh amal kita. Jika seorang wanita berhijab, tetapi
dosa-dosanya yang lain memberatkan timbangan dosa, ia akan dicampakkan ke
neraka dan wanita yang tidak berhijab walaupun berdosa, tetapi amal
kebajikannya lebih berat daripada dosa, ia akan masuk kesyurga. Hakikat ini
boleh diperlajari dari hadis Rasulullah saw yang menceritakan seorang
pelacur dimasukkan syurga kerana menyelamatkan seekor anjing yang kehausan.
Bagaimanapun, mereka yang
mengatakan sedemikian sebenarnya tidak sedar bahawa keengganannya untuk
memakai hijab menunjukkan kewujudan unsur-unsur tidak baik dalam hatinya.
Hakikatnya seseorang itu tidak mahu berhijab, memberi petanda bahawa dalam
hatinya ada keingkaran/tidak reda terhadap hukum Allah atau kelemahan untuk
melawan rasa malu atau tekanan persekitaran dan kehedak nafsu untuk berhias
atau ego diri.
Kewujudan wanita yang berhijab,
tetapi melakukan dosa-dosa lain tidak boleh menjadi alasan bagi seorang
wanita meninggalkan kewajipan berhijab atas alasan 'yang penting hati mahu
baik'. Jika alasan ini boleh diterima, maka manusia akan mempunyai alasan
bagi meninggalkan semua kewajipan agama.
Setiap kita haruslah mengetahui apakah
kewajipan-kewajipan agama yang perlu ditunaikan dan berusaha untuk
menunaikannya tanpa melihat perbuatan atau kecacatan orang lain kerana kita
dihisab oleh Allah swt atas perbuatan kita sendiri bukan atas perbuatan
orang lain. Allah berfirman, "Dan bahawasanya seorang manusia itu tidak
memperolehi (pahala atau dosa) melainkan apa yang diusahakannya."
(An-Naj:39).
Bagi wanita-wanita yang memakai
hijab dan dikatakan sedemikian, hendaklah bersabar, berusaha memuhasabah
diri atas kritikan yang dibuat dan tidak pula menghukum wanita yang
mengatakan sedemikian dengan kafir, jahil dan cercaan lain. Allah mengajar umat
Islam dalam firmannya, "Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah)
orang-orang yang berjalan dimuka bumi dengan rendah hati dan apabila orang
jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik,"
(Al-Furqan:63).
Wanita-wanita yang memakai
hijab hendaklah bersyukur atas hidayah yang Allah telah berikan kepada
mereka, tetapi tidak pula menjadikan amalan hijabnya satu alasan untuk
memandang rendah wanita lain kerana sifat sedemikian adalah keji dan
sebahagian daripada penyakit hati.
* Iklan dan Promosi *
|
Perkhidmatan:
Kontraktor Berdaftar untuk membina rumah,ubahsuai rumah dan pejabat,
membersih kawasan ladang,dusun serta tanah lot.
Hubungi: Samaon
Bin Abd Manan, Jalan Kg. Tengah 3, Bt. 4 1/2, Jalan Gombak, 68000 Gombak,
Selangor Darul Ehsan.
Tel: 013-254 3039
|
|